Setiap kali mendengar atau membaca kisah Perang Jamal,
selalu saya tertanya mengapa perang ini boleh berlaku. Seakan tak mampu untuk
menghadam pendengaran dan pembacaan akan watak yang terlibat dalam perang ini,
iaitu perang yang melibatkan Saidatina Aisyah, Thalhah dan Zubair menentang
Saidina Ali.
Namun Alhamdulillah, kekeliruan dan kekusutan saya terlerai
setelah membaca buku Dr Maza ini. Perang
Jamal yang berlaku bukanlah atas kehendak kedua-dua belah pihak. Perang ini
terjadi disebabkan oleh tindakan pihak pemberontak yang telah membunuh Saidina
Uthman.
Pihak Saidatina Aisyah, Thalhah dan Zubair menuntut Saidina
Ali agar mencari dan menyegerakan hukuman bunuh (qisas) ke atas pembunuh
Saidina Uthman. Namun Saidina Ali telah menyatakan bahawa hukuman ini tidak
dapat dilakukan segera kerana diselubungi kekeliruan dalam menentukan saksi dan
menunggu masa yang sesuai. Pihak saiditina Aisyah menerima keputusan Saidina
Ali dan kedua-dua pihak telah pun mencapai perdamaian.
Namun, pihak pemberontak mula tidak senang duduk. Mereka
mengetahui bahawa diri mereka akan dibunuh melalui perdamaian ini. Akhirnya
mereka merancang untuk mencetuskan peperangan. Sebahagian daripada mereka telah
menyerang pihak Saidatina Aisyah. Sebahagian yang lain pulah telah menyerang
pihak Saidina Ali dalam keadaan serentak. Situasi ini telah menyebabkan salah
faham berlaku. Pihak Saidatina Aisyah menganggap bahawa pihak Ali telah
melanggar perjanjian damai lalu menyerang mereka. Di pihak Saidina Ali pula
menganggap pihak Saiditina Aisyah telah melanggar perjanjian damai lalu
menyerang mereka.
Peperangan ini sangat mendukacitakan kerana telah
menyebabkan begitu banyak kematian termasuklah terbunuhnya sahabat nabi, Zubair
dan Thalhah. Saidina Ali juga menangis kepada anaknya bahawa dia sangat
berharap agar dirinya telah mati 20 tahun dahulu supaya tidak berlakunya Perang
Jamal ini. Sementara Saidatina Aisyah ada menyebut bahawa beliau berharap
beliau mati sebelum Perang Jamal.
Titik tolak yang akhirnya membawa kepada berlakunya perang
ini bermula saat tersebarnya fitnah di zaman pemerintahan khalifah Saidina
Uthman. Fitnah telah dilakukan oleh Abdullah bin Saba’, seorang yahudi yang
pergi ke merata negeri demi menyebarkan fitnah yang buruk ke atas Saidina Uthman.
Saidina Uthman telah merungkai segala fitnah yg telah ditaburkan namun mereka
tetap menuntut agar Saidina Uthman melucutkan jawatan khalifah.
Namun, tugas khalifah ini bukanlah pilihan Saidina Uthman sendiri
melainkan ianya merupakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Rasulullah.
Setelah desakan demi desakan berlaku, pihak pemberontak telah memilih waktu
ketika ramainya umat Islam Madinah pergi ke Mekah untuk menunaikan haji. Bilangan
umat Islam yang sedikit ketika di Madinah ini diambil kesempatan oleh pihak
pemberontak untuk mengepung dan membunuh Saidina Uthman dalam keadaan yang
sangat zalim. Saidina Uthman pula pada ketika itu menghalang
pendokong-pendokongnya untuk mempertahankan dirinya kerana khuatir peperangan
antara umat Islam akan berlaku.
Saya sangat menghargai buku karangan Dr Maza ini. Kisah-
kisah yang dirungkaikan didasari oleh kajian ilmiah yang sangat mendalam. Bukan
mudah untuk meneliti sejarah apatah lagi untuk membersihkan nama para sahabat.
Banyak lagi kisah-kisah fitnah lain yang diceritakan dalam buku ini, dan telah
didatangkan hujah bagi menolak fitnah-fitnah tersebut.